Media &
 Investor Alert
For media contact details and an archive of press release, speeches and regulator updates.
Larian Labuan FSA 2011
Ucapan Oleh

Y. Bhg Datuk Azizan Abdul Rahman
Ketua Pengarah, Labuan FSA
 
25 Jun 2011
Terima kasih saudari Pengacara Majlis.

Bismilah-ir Rahman-ir Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Yang Berusaha Encik Zainul Abidin Abdullah

Ahli Lembaga Pengarah Labuan FSA dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan
 
Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Labuan serta Agensi-Agensi Swasta
 

Datuk-datuk, Tuan-tuan, Puan-puan, serta hadirin dan hadirat yang saya hormati 

Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan berkat limpah dan kurniaNya dapat kita bersama-sama hadir pada acara Larian Labuan FSA 2011 pada pagi ini. Syukur juga, cuaca yang baik mengizinkan kita berkumpul bagi menjayakan acara larian sambil beramal ini.


Tuan-tuan dan Puan-puan,

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua kerana sudi hadir untuk memeriahkan lagi acara Larian Labuan FSA 2011 ini. Saya berasa amat bangga dengan sokongan padu yang diberikan, terutama warga Labuan, melangkau tahun keenam acara larian Labuan FSA ini dianjurkan. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Y.Berhormat Datuk Hj Yussof B. Hj Mahal, Ahli Parlimen Labuan serta Y.Berbahagia Datin yang sudi hadir sebentar tadi untuk acara pelepasan para peserta larian kita sebentar tadi.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada En. Encik Zainul Abidin, Ahli Lembaga Pengarah Labuan FSA dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan yang telah sudi bersama-sama kita pada pagi ini. Saya berbesar hati dan sememangnya mengalu-alukan sokongan daripada pihak Perbadanan Labuan dalam menjayakan acara ini.

Untuk makluman Tuan-tuan dan Puan-puan, antara tujuan utama penganjuran acara larian ini adalah untuk merapatkan hubungan baik serta kerjasama antara warga Labuan dan Labuan FSA, selain menyemai semangat kesukanan dan kekeluargaan di kalangan masyarakat setempat. Acara larian ini tidak mungkin berjaya dilaksanakan tanpa sokongan padu serta kerjasama daripada agensi-agensi Kerajaan, swasta dan orang perseorangan dengan pihak Labuan FSA.

Seperti tahun-tahun yang terdahulu, terdapat 10 kategori dipertandingkan, termasuk kategori untuk kanak-kanak istimewa. Hadiah-hadiah menarik termasuk wang tunai, piala serta sijil bakal dibawa pulang oleh 10 peserta teratas bagi setiap kategori. Pihak Labuan FSA turut menyediakan hadiah-hadiah menarik bagi acara Cabutan Bertuah dan hadiah-hadiah ini disediakan untuk para peserta yang berjaya menamatkan larian dalam tempoh yang ditetapkan. Hadian utama yang disediakan bagi cabutan bertuah tahun 2011 adalah sebuah motosikal model Modenas CT110.

Seperti yang hadirin sedia maklum, acara Larian ini merupakan salah satu daripada komitmen Labuan FSA untuk menghulurkan sumbangan kepada masyarakat tempatan melalui tajaan serta derma bagi membantu persatuan-persatuan kebajikan di Labuan. Pihak Labuan FSA akan terus berusaha menyumbang dan memainkan peranan penting dalam membangunkan Labuan sebagai pusat tumpuan masyarakat global, baik dari segi perniagaan, pelancongan atau aktiviti-aktiviti sosial dan selainnya yang membantu dalam penggalakan pembangunan wilayah ini.

Sememangnya pihak pengurusan Labuan FSA amat berbesar hati kerana acara Larian ini telah dapat menarik minat penyertaan bukan sahaja daripada masyarakat tempatan malah berbagai lapisan masyarakat dari Labuan, Borneo dan Semenanjung Malaysia. Saya berasa gembira menyaksikan semangat tinggi para peserta yang berkobar-kobar untuk menjayakan larian pada pagi ini. Syabas saya ucapkan kepada semua yang terlibat, khasnya warga Labuan, kerana saya difahamkan terdapat lebih daripada 2,500 orang yang hadir pada hari ini bagi menjayakan acara Larian LFSA 2011. Satu tepukan gemuruh untuk semua yang hadir! Semangat yang tuan-tuan dan puan-puan tonjolkan begitu membanggakan.
 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Pihak Labuan FSA sentiasa perihatin dengan golongan yang kurang berkemampuan, baik dari segi wang ringgit mahupun yang kurang berupaya dari segi fizikalnya. Untuk maklumat semua, hasil kutipan sumbangan tahun ini akan disalurkan kepada empat organisasi iaitu, Persatuan Olympic Khas Labuan, Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia, Persatuan Bagi Orang-Orang Istimewa Labuan dan Persatuan Warga Tua Labuan.

Tahniah saya ucapkan kepada semua peserta pertandingan Larian yang terlibat. Sememangnya adat pertandingan, ada yang kalah dan ada yang menang. Namun dalam acara ini, anda semua merupakan jaguh kerana dapat sama-sama menabung dalam memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan!
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli Jawatankuasa yang telah bertungkus lumus menjayakan acara Larian Labuan FSA 2011. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada pihak Perbadanan Labuan, Persatuan Olahraga Amatur Labuan, Majlis Sukan Labuan, Polis DiRaja Malaysia, Hospital Nukleus Labuan, Radio Malaysia Labuan, Jabatan Pertahanan Awam Labuan serta Jabatan Pelajaran Labuan dan ramai lagi yang tidak dapat saya sebutkan di sini atas usaha anda semua dalam menjayakan acara kita pada hari ini. Saya berharap semangat kerjasama kita akan berterusan di masa hadapan.

Ucapan terima kasih juga kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan, baik dari segi kewangan mahupun tenaga. Antara penyumbang utama acara larian Labuan FSA 2011 adalah RUSD Investment Bank, Labuan Reinsurance Ltd, Equity Trust (L) Ltd, Petronas Methanol Labuan, City Credit Investment Bank, IBH Investment Bank, Deutsche Bank AG Labuan, Maybank International (L) Ltd, AmanahRaya Investment Bank, Financial Park Labuan, Hay Group Sdn Bhd, Association of Labuan Banks, Labuan International Insurance Association, Tokio Marine Re Ltd, Hong Kong & Shanghai Banking Corp, OCBC Ltd Labuan branch, Siti Trust Administrator, Grand Dorsett Hotel, Skynet Worldwide Sdn Bhd. dan penyumbang-penyumbang lain yang saya tidak dapat sebutkan di sini. Segala sumbangan anda amat dihargai dan terima kasih kerana komitmen anda semua.

Sebelum saya berundur, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih pada semua yang terlibat dan tahniah kepada para peserta yang berjaya. Insha’allah, memandangkan sambutan yang sangat menggalakkan sepanjang acara Larian ini diadakan, pihak Labuan FSA akan terus mengekalkan penganjurannya menjadikan Larian ini sebagai salah satu acara utama dalam kalendar tahunan Labuan.


Sekian, terima kasih.

Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabaraktuh.
Friends of
Labuan IBFC
We would like to hear from you
Copyright © labuan ibfc
Ooops!
Generic Popup